Kursus ini memfokuskan pada penghayatan etika dan peradaban dalam acuan Malaysia. Pelajar akan didedahkan dengan konsep etika dan peradaban berdasarkan sejarah Malaysia dari era prakolonial sehingga pascakolonial. Ke arah pemantapan kesepaduan nasional dan bangsa Malaysia serta peningkatan penghayatan etika dan peradaban, pelajar akan membincangkan pembentukan etika dan peradaban dalam masyarakat kepelbagaian acuan Malaysia. Perbincangan akan dikupas serta diperdebatkan berpandukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai tapak integrasi dan wahana etika dan peradaban. Oleh sebab globalisasi, teknologi maklumat dan komunikasi mempengaruhi pembinaan kesepaduan nasional, penghayatan etika dan peradaban serta menzahirkan perilaku tanggungjawab sosial digerakkan pada peringkat individu, keluarga, komuniti, masyarakat, dan negara. Justeru, perubahan yang berlaku dalam masyarakat dan pembangunan langsung ekonomi telah membawa cabaran baru dalam mengukuhkan kelestarian etika dan peradaban di Malaysia.